Wednesday 24 April 2013

Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN)




GIZA, 21 APRIL 2013-  Sebuah seminar anjuran Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama Kelab Peguam Muda Mesir (KPMM) telah diadakan buat julung-julung kalinya di Hotel Barcelo Pyramids, Giza, Mesir. Seminar yang bertajuk Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) telah dihadiri seramai lebih kurang 30 orang peserta selama  4 hari 3 malam ini telah disertai oleh exco KPMM, wakil ISMA-Mesir, serta wakil persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang lain. Rata –rata peserta adalah yang mengambil bidang Syariah Islamiah di Mesir.

Seminar ini membariskan tokoh-tokoh perundangan yang hebat seperti Dato’ Zainul  Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), Tuan Azril Mohd Amin (Naib Presiden PPMM) dan Yang Amat Arif Tuan Haji Abdul Walid Abu Hasan (Ketua Mahkamah Syariah Pulau Pinang).
Lima tajuk pembentangan seminar ini ialah Sejarah Perlembagaan Malaysia, Kedudukan Islam dalam Perlembagaan, Hak-Hak Asasi Manusia, Peranan Mahkamah dan Pelaksanaan Hukum Jenayah Syariah.

Seminar ini bertujuan untuk melatih para peserta menjadi jurucakap dalam menerangkan isu-isu yang biasa menjadi  persoalan berkaitan dengan perlembagaan dan perundangan Malaysia. Mengikut statistic umum, jumlah peguam di Malaysia ada lebih kurang 14 000. 4 ribu merupakan peguam muslim dan hanya lebih kurang 1 600 orang sahaja peguam syarie. Ini menunjukkan hakikat bahawa masih terlalu sedikit  para peguam muslim di Malaysia, apatah lagi yang menjadi peguam syarie.

Selain itu, seminar ini juga berhasrat menerbitkan sebuah buku berkaitan isu perundangan Malaysia yang mempunyai gaya bahasa yang mesra masyarakat.
Seminar ini berjaya membuka mata para peserta tentang betapa pentingnya umat Islam Malaysia bersatu dalam mempertahankan kedaulatan Islam di Malaysia. Di samping memberi kesedaran kepada para peserta tentang peri pentingnya kita menguasai bidang ilmu syariah yang dipelajari di bumi Mesir ini, supaya ilmu ini dapat dipraktikkan di Malaysia kelak.

No comments:

Post a Comment